Thursday, January 26, 2012

Al Bara' bin Malik

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ...


Umar Al Khatab pernah menulis surat kepada wakilnya di Afaq:
“Jangan kamu lantik Al Bara’ memimpin tentera Islam kerana bimbang beliau akan membinasakan tentera lantaran keberaniannya.”
**************
Di dalam suatu kisah, selepas Baginda s.a.w. wafat, banyak kabilah Arab berpusu-pusu keluar dari Islam. Abu Bakar As Siddiq tetap teguh memerangi kaum murtad ini untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar.
Golongan murtad yang paling ramai dan kuat adalah daripada Bani Hanifah yang dipimpin oleh Musailimah al Kazzab. Musailimah berjaya menewaskan angkatan tentera Islam di bawah pimpinan Ikrimah bin Abu Jahl. Lantas Abu Bakar menghantar pasukan tentera di bawah pimpinan Khalid Al Walid yang juga disertai sahabat-sahabat terkenal daripada Ansar dan Muhajirin.
Pertempuran yang sengit ini berjaya dikuasai oleh Musailimah sehingga ada yang berjaya merempuh masuk khemah besar Khalid Al Walid sehingga hampir-hampir membunuh isteri Khalid. Banyak tentera Islam gugur syahid.
Khalid yang melihat pertempuran semakin sengit mengarahkan Bara’ bin Malik: “Wahai pemuda Ansar. Bantu mereka.”
Lantas, Bara’ berpaling dan melaungkan: “Wahai orang Ansar, jangan ada seorangpun di kalangan kamu berfikir untuk kembali ke Madinah. Tiada Madinah lagi bagi kamu hari ini. Yang tinggal hanyalah Allah yang Esa dan syurga yang abadi..” Bergema kata-kata Bara di tengah kecamuk pedang dan perisai.”
********************
Akhirnya musuh berundur ke sebuah taman yang dalam sejarah dikenali sebagai Taman Maut. Taman Maut ini merupakan lapangan yang luas dan dikelilingi tembok yang tinggi. Musailimah dan ribuan tenteranya berlindung di dalam taman tersebut dan menghujani tentera Islam dengan anak panah.
Ketika inilah Bara’ mara dan menjerit: “Wahai tentera, letakkan saya di atas sebuah perisai, junjung perisai tersebut dengan mata lembing kemudian lontarkan saya ke dalam taman berhampiran dengan pintunya. Sama ada saya syahid atau saya berjaya membuka pintu untuk kamu semua masuk menyerbu mereka.”
Sekelip mata Bara’ telah berada di atas sebuah perisai dan dihumban ke dalam taman tersebut. Beliau bertempur dengan musuh yang berdekatan pintu dan berjaya membuka pintu taman tersebut dengan lebih 80 kesan luka di badannya.
Akhirnya, Musailimah dan tenteranya berjaya ditewaskan dan al Bara’ bin Malik dirawat oleh Khalid al Walid. Dengan izin Allah, selama sebulan barulah beliau sembuh.
*******************
Keazaman untuk mati syahid terus membara dalam diri Al Bara’. Beliau terus menyertai peperangan demi peperangan sehinggalah ketika pembukaan Tustar, salah sebuah penjajahan Parsi.
Ketika itu, tentera Parsi berlindung dalam sebuah kubu yang tinggi dan licin. Tentera Islam mengepung bagaikan gelang di tangan. Jadi, tentera Parsi semakin tertekan lalu bertindak menghulurkan rantai besi dari atas tembok yang diikat serampang bengkok daripada besi waja yang dibakar. Apabila terkena pada tentera Islam, ia tersangkut di tubuh badan mereka, lalu tentera Parsi mengait mereka ke atas.
Salah satu serampang tersebut terkena Anas bin Malik. Melihat saudaranya itu, Al Bara’ melompat ke atas dinding kota dan memegang rantai besi itu untuk mencabut serampang tersebut dari badan saudaranya.
Tangan al Bara’ terbakar dan berasap, namun beliau tidak menghiraukannya sehingga beliau berjaya menyelamatkan saudaranya. Setelah itu beliau jatuh ke tanah. Daging tangannya luluh terbakar dan yang kelihatan hanyalah tulang.
Dalam peperangan ini, beliau gugur syahid dan berjaya melaksanakan impian besarnya. Semoga Allah memberi rahmat ke atas beliau. Ameen..

No comments: