Saturday, December 31, 2011

cerita wanita

Srikandi Turki

Suatu waktu dahulu satu dunia tahu tentang kisah yang menimpa Gul Aslan, MP Kavakci dan lain-lain. Mereka menghadapi tribulasi besar-besaran sehingga mengundang cela seksa dipenjarakan oleh regim sekular di Turki, malah Kavakci hilang kerakyatan.

Saya masih ingat kepada demonstrasi yang diadakan di Beyazit, Istanbul oleh pelajar-pelajar universiti berhubung dengan larangan pelajar bertudung masuk ke kawasan kampus untuk menduduki peperiksaan. Bayangkan, ada antara mereka telah enam tahun bertungkus-lumus menyempurnakan pengajian di bidang perubatan, tiba-tiba sehari itu sahaja mereka ditegah masuk ke universiti untuk menyelesaikan peperiksaan terakhir. Mereka terpaksa memilih antara hijab dan perintah Allah itu, sengan segulung ijazah bekalan hidup.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tragedi Di Depan Mata

Saya melihat bagaimana abang kepada seorang pelajar perempuan yang berdemonstrasi itu merentap tudung adiknya supaya dapat menduduki peperiksaan. Berlakulah pergaduhan yang amat menyayat hati itu. Kanal Yedi (Channel 7) yang menyiarkan hal itu saya tutup kerana hati ini amat terguris dan dayus kerana tidak dapat berbuat apa-apa. Saya rasa kaget melihat pelajar muslimat memakai snow cap dan membalut kepala dan leher dengan mafla bagi menggantikan hijab supaya mereka boleh melepasi sekuriti di pagar kawasan kampus.

"Isteri Mustafa, kawan saya yang pernah tinggal bersama di Jordan dulu, pergi bekerja ketika matahari belum terbit. Duduk di kelas sehingga Maghrib sebelum pulang ke rumah. Semuanya agar tudung beliau tidak dilihat Pengetua. Sampai bila dia mampu bertahan, entahlah!" Saya berkongsi cerita dengan Islam (nama seorang watak, bukan merujuk kepada agama Islam).

Beliau mengangguk lesu. Isterinya sendiri sudah meletakkan jawatan kerana tekanan yang sama.

Banyak lagi catatan yang boleh dikongsi bersama, namun bukanlah itu isu yang hendak saya ketengahkan di sini.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bertemu Sendiri

Lawatan ke Turki kali ini sangat unik. Hadir bersama isteri dan anak ke bumi Khalifah, saya mengharapkan perkongsian fikrah kami dapat disuluh dari sudut para isteri pula dengan kehadiran Ummu Saif.

"Betul ke isteri kamu ni doktor, Hasrizal?" tanya Islam.
"Kenapa? Sebab saiznyakah?" soal saya. Kami ketawa kecil.
"Bukan! Maksud saya, susah sungguh mahu membayangkan seorang doktor memakai tudung di Turki ini" balas Islam.
Saya mengangguk.

Apabila kami menyentuh soal tekanan ke atas umat Islam di Turki, lazimnya ia berakhir dengan sepi sejenak, masing-masing merenung lantai dan mengesat air mata sebelum melepaskan nafas dalam yang menyesakkan dada. Terdiam, tergamam dan hanya pada Allah sahaja, perasaan yang bercampur-aduk itu disandarkan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tinggal Bidang

Semua sahabat saya mengalami nasib yang sama. Mereka menceburi bidang perniagaan walaupun tanpa minat dan menyanggah kecenderungan. Ini adalah gara-gara pelbagai sekatan yang dikenakan oleh kerajaan demi memastikan lulusan Ilahiyat (Pengajian Islam dan Teologi Ketuhanan) terseksa hidup, bukan sahaja semasa di fakulti semasa belajar, malah sepanjang hayat selagi nyawa dikandung badan.

Tiada kerja yang boleh dipohon, sekolah-sekolah Tahfiz dan Imam Hatip ditutup, manakala jawatan-jawatan lain, sudah sampai ke peringkat mustahil untuk diperolehi. Namun, hidup mesti diteruskan, mereka menceburi perniagaan demi mencari rezaki yang halal dan alhamdulillah, nampaknya masing-masing mempunyai kehidupan yang bolehlah dikatanakan baik.

Walau bagaimanapun, suatu yang pasti, isteri masing-masing semuanya tidak bekerja. Semuanya kerana hijab. Melalui isteri saya, cerita-cerita yang didengari melalui kaum ibu itu memang menyedihkan. Bayangkan, selepas bertahun-tahun mengejar ijazah sehingga beroleh kelayakan sebagai peguam, akauntan, lulusan Pengajian Islam dan sebagainya, semuanya berakhir di rumah.

Kebetulan pula rakan-rakan  saya ini kebanyakkannya berkahwin dengan rakan sekelas semasa di universiti. Maka kehadiran saya menjadi sebab untuk mereka semua kembali berkumpul. Para isteri juga diketemukan kembali. Walaupun gembira, cerita-cerita sedih ini jugalah yang mendominasi perbualan. Mereka tidak dapat menerima hakikat isteri saya bekerja sebagai seorang doktor di Ireland dengan penuh kebebasan terhadap tudung yang dipakai.

Bagaimana kebebasan itu ada di Ireland tetapi tidak di bumi Khalifah ini?

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kekal Optimis

Saya cuba mencari the bright side of the story -- mencari sinar di sebalik kejadian. Mungkin kaum wanita ramai yang tidak bersetuju dengan analisis saya terhadap fenomena ini. Namun saya cuba bersikap adil dan mengharapkan agar hal ini boleh mencelikkan pandangan kita semua yang terperangkap dalam gaya hidup seperti hari ini.

Sejarah memperlihatkan bagaimana umat Islam cemerlang, gemilang dan terbilang ketika kaum wanitanya berada di rumah. Mungkin tiada statistik yang boleh saya kemukakan untuk menyokong dakwaan ini, tetapi sekurang-kurangnya strategi Ataturk ketika merancang kemusnahan Khalifah Othmaniyyah boleh dijadikan kayu ukur. Ataturk menyedari bahawa antara unsur kekuatan pegangan umat Islam ialah pada kedudukan wanitanya. Masyarakat boleh diubah dengan mengubah wanita. Wanita memelihara rumah tangga, anak-anak dan suami. Institusi keluarga ini menjadi benteng pertahanan umat ketika berhadapan dengan proses pembaratan budaya dan cara hidup dikala itu.

Kerana itulah, Ataturk telah menyusun strateginya yang tersendiri. Atas nama hak sama rata antara lelaki dan wanita, Ataturk menggalakkan wanita bekerja, bermusafir keluar meninggalkan rumah, malah diberikan tempat di kerusi-kerusi parlimen. Bagi mereka yang dahagakan 'kemajuan', mereka melihat usaha Ataturk ini sebagai usaha pemodenan yang wajar disyukuri. Namun, strategi Ataturk berjaya. Institusi keluarga mula retak.

Lihat sahaja dalam masyarakat kita. Kesan daripada wanita bekerja, telah menimbulkan pelbagai masalah dalam masyarakat. Penjagaan anak-anak terpaksa diserahkan kepada pembantu rumah dan pusat penjagaan kanak-kanak. Lantas sifat mereka terbentuk mengikut sifat pembantu rumah dan pusat berkenaan. Amat mendukacitakan, ada antara umat Islam yang anak-anaknya dijaga diberi makan dan dididik oleh pembantu rumah yang menyembah berhala dan ahli syirik.

Titil getir pula menyelubungi rumah tangga dengan menghadirkan pembantu rumah dalam sesebuah rumah yang sempit. Jika isteri belum pulang bekerja, suami duduk di rumah bersama anak-anak dan wanita bukan mahram yang menjadi pembantu rumah. Tidak sedikit kes-kes fahsya' (keji) dan mungkar yang berlaku akibat situasi seperti ini. Begitu juga, anak-anak renggang daripada ibu dan bapa, kasih sayang tidak sekukuh generasi lalu. Lantas bertambah-tambahlah ibu yang melahirkan bosnya sendiri sebagaimana yang diisyaratkan oleh Nabi SAW sebagai tanda kiamat dalam hadith Jibril yang masyhur itu.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kerjaya Lebih Utama

Kemunculan career women juga semakin bertambah. Mereka mengutamakana karier dan tidak berkahwin selepas mencecah usia lanjut. Semua ini menjadi barah tahap tiga dalam masyarakat.

Al-Marhum Said Hawwa telah mengulas berhubung dengan hal ini dalam kitabnya Al-Islam. Beliau menegaskan bahawa Uqubat Fithriyyah (balasan/hukuman fitrah) daripada wanita meninggalkan peranan mereka di rumah dan keluar bekerja meliputi;

1) Kecelaruan hubungan antara lelaki dan perempuan serta hilangnye ketenangan dan kesejahteraan. Anak-anak tidak dapat mengecapi penjagaan oleh ibu bapanya dengan sempurna.

2) Perempuan hilang rasa kebergantungan kepada suaminya, dan ia menjadi ancaman yang besar kepada hubungan perkahwinan mereka.

3) Wanita itu telah menolak tanggungjawab nafkah orang lain ke atas dirinya. Akibatnya, selepas mencapai usia tua dan uzur, wanita itu masih perlu bekerja seperti lelaki walaupun fizikalnya sudah tidak mengizinkan.

4) Wanita kehilangan sifat-sifat kewanitaan yang dihususkan kepadanya. Natijahnya, wanita itu sudah tidak lagi sesuai untuk memikul tanggungjawab asasinya seperti mengandung anak.

5) Keretakan hubungan kekeluargaan berkembang menjadi krisis dalam masyarakat.

6) Ibu bapa yang baik tidak dapat mewariskan sifat-sifat mereka yang baik kepada anak-anak bahkan hubungan kasih sayang juga terjejas.

Kerana itulah Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud:

"..dan tetapkanlah kedudukan kamu (wanita) di rumah dan janganlah sekali-kali kamu bertabaruj dengan tabaruj jahiliah pertama.."

Akan tetapi, untuk memujuk kaum wanita kembali ke rumah memainkan peranan mereka yang maha besar dan penting itu, bukanlah  suatu yang mudah. Selain daripada terperangkapnya kita dalam corak kehidupan sedemikian rupa, permintaan itu mungkin akan diperangi oleh pelbagai pertubuhan yang ditubuhkan dengan matlamat 'menjaga hak-hak wanita'.

Mungkin dengan penindasan dan suasana maha terpaksa sahajalah corak kehidupan seperti itu boleh berubah. Maka pada pandangan saya, apa yang berlaku di Turki mungkin amat besar hikmahnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tekanan Mungkin Kurniaan

"Namun, tekanan ekonomi, tidak memudahkan pilihan ideal itu diambil" ujar Islam.
"Benar, saya langsung tiada bangkangan mengenainya," sahut saya.

Akibat tekanan yang amat besar, Muslimat yang mulia pekerti itu terpaksa akur untuk tidak bekerja demi hijab dan agama. Lantas mereka hanya menjadi suri rumah sepenuh masa menjaga anak-anak.

Jika situasi seperti ini distrategi dengan baik, saya melihat ia sebagai suatu perubahan yang positif dalam masyarakat. Wanita kembali kepada fitrah mereka.

Bayangkan, anak-anak dididik oleh wanita berpendidikan tinggi dan berjiwa besar. Sudah tentu generasi yang lahir adalah lebih baik dan berkualiti berbanding dengan generasi belaian tangan pembantu rumah. Kita mengimpikan pendidikan yang baik untuk anak-anak.

Jika situasi seperti ini boleh dimanfaatkan oleh kita semua, mungkin usaha menyediakan pendidikan alternatif seperti home schooling boleh dijayakan dengan begitu baik sekali. Lihat sahaja usaha gigih masyarakat Muslim minoriti di Amerika Syarikat membangunkan sistem pendidikan Islam di sana. Mereka sudah berjaya sampai ke tahap mampu mengemukakan konsep home schooling sebagai pendidikan formal anak-anak yang diiktiraf oleh Silibus Nasional Negara. Halaman web: www.muslimhomeschool.com wajar diteliti oleh kita semua.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berhenti Menangis

"Berhentilah meratapi masalah ini. Ia mungkin cara Allah mengembalikan wanita cerdik pandai ke rumah untuk anak masin-masing," pujuk saya.
"Benar. Hikmahnya jelas. Cuma untuk menelannya rasa terlalu pahit," balas Islam perlahan.
Saya menyambung, "Untuk jangka pendek, ia mungkin suatu penindasan. Namun jika dilihat kepada masa hadapan, saya percaya bahawa perbuatan regim sekular menyekat kerja golongan Pengajian Islam dan wanita bertudung ini, akan menjadi suatu strategi yang mereka kesali"
"Penantian kita tidak lama, insyaAllah. Iaitu untuk suatu jangka masa yang dekat. Bak kata pepatah Turki; 'Her gelecek yakindir!' Islam kembali bersemangat. Setiap yang datang itu hampir, kata pepatah Turki yang dipetiknya.

Semoga kemenangan Islam disegerakan allah. Dalam masa yang sama saya berdoa  semoga anak-anak saya terselamat daripada fitnah kehidupan harini. Semoga rumah tangga saya dipelihara Allahketika ia menjadi pondok kecil yang dirempuh badai metropolitan Kuala Lumpur yang menggila.

Titisan air mata dan renungan terpaku ke lantai, akhirnya berubah menjadi dongak dagu kami ke langit dengan senyuman penuh makna... Beruntunglah mereka yang wanitanya berjaya mempertahankan fitrah.

Maafkan saya jika anda fikir analisis ini kolot dan ketinggalan zaman...

(Potongan artikel ini dipetik daripada buku Ustaz Hasrizal; saifulislam.com, yang bertajuk 'Secangkir Teh Pengubat Letih' mukasurat: 215-223)













No comments: